Sunday, October 25, 2009

Kenduri Perkahwinan Iwan

Pada 23 Oktober 2009, aku & Wahid telah bertolak dari Kuantan dengan menaiki bas ekspres ke Kelantan dengan hanya satu tujuan, menghadiri walimatul urus di rumah bakal (pada masa itu) isteri sahabat kami, Ahmad Safwan bin Mohamad. Tak tersangka berjumpa dengan Abu Qassim, Naib Presiden Antarabangsa PKPIM, yang dalam perjalanannya ke Selatan Thailand, menaiki bas yang sama. Selepas 7 jam, kami tiba di stesen bas Kota Bharu pada pukul 5 .15 pagi 24 Oktober 2009. Ayahku sedia menanti kami dan tanpa berlengah, kami terus menaiki kereta selama 20 minit, menuju ke rumahku di Pasir Mas. setelah berehat di rumah, lebih kurang pada pukul 10.45 pagi, kami bertolak ke Gua Musang dengan kereta Waja Mama. Ahli rombongan terdiri daripada aku, sebagai pemandu, Wahid sebagai penolong pemandu, dan adikku, Ili Syifaa' Raihani, sebagai pengurus barang.

Alhamdulillah, tanpa kesesatan yang teruk, kami tiba di Taman Mesra pada pukul 1.45p.m. Besarnya banner! Terkazut kami! Sah, ini rumahnya.


Kereta diparkir di depan deretan kedai di hadapan rumah pengantin. Kami sepakat untuk membeli sesuatu sebagai saguhati ke kenduri (last minute idea la ni). Hasilnya amat lumayan.

To be continued...

Thursday, September 10, 2009

Artikel untuk Faciteam

Disebabkan cuti, saya tidak berpeluang menyertai Faciteam berbuka puasa di UIAM Kuantan. untuk mewakili diri, sebuah artikel telah ditulis. Walaubagaimanapun, artikel ini tidak dapat dihantar melalui e-mail pada hari itu kerana masalah talian di rumah.. :(

Salam perjuangan kepada semua ahli Facilitator Team. Semoga semuanya dalam rahmat dan barakahNya.

Selamat datang kepada semua ahli baru Faciteam. Ahlan wasahlan. Semoga kehadiran adik-adik dalam keluarga besar ini dapat membantu diri adik-adik meningkatkan kemahiran kefasilitatoran masing-masing dan seterusnya dapat membantu adik-adik berdakwah dengan berhikmah, InsyaAllah. Akak mengambil kesempatan yang terhad ini untuk berkongsi fikiran dengan adik-adik dan sahabat semua. Semoga dapat dijadikan teladan.

Semasa dalam tahun ketiga, akak telah diberikan tanggungjawab yang besar dalam Faciteam; sebagai Setiausaha dan senior facilitator. Jawatan yang diberikan bukanlah kerana kehebatan atau kemahiran, tetapi hanya kerana tempoh masa penglibatan yang lebih lama bersama angkatan senior yang terdahulu dan mungkin kerana komitmen diri kepada Faciteam. Semasa di pertengahan semester, Faciteam telah dihujani dengan permintaan program daripada sekolah-sekolah di sekitar Kuantan tetapi kita kekurangan tenaga kerja kerana peperiksaan “mid term” dan “end-block” bagi sesetangah pelajar perubatan juga berlangsung di sekitar waktu yang sama. Berat rasanya ujian Allah pada masa itu kerana menuntut pengorbanan masa belajar dalam “revision week”. Program yang paling hampir dengan peperiksaan pada masa itu ialah sebuah program motivasi & sahsiah untuk lebih kurang 60 pelajar SPM sebuah sekolah yang bertempat di Taman Pertanian, seminggu sebelum peperiksaan “end-block”.

Fasilitator yang tetap di program hanya 3 orang pelajar perempuan tahun tiga perubatan yang sekarang ini lebih dikenali dengan gelaran ‘kakak bertiga’, Chief Coordinator yang juga tahun tiga, dan 2 orang junior. Kami dibantu oleh beberapa sahabat lain yang terpaksa berulang-alik pulang ke UIA kerana peperiksaan.

Pada awalnya, kami agak selesa dengan perjalanan program kerana modul yang dirangcang dapat dilaksanakan dengan jayanya. Semangat dan kerjasama peserta sangat memuaskan. Suasana LDK & Mass sangat meriah. Kami hanya mengikut “flow” program yang telah dirancang & yang biasa digunakan dalam program-program terdahulu. Walaubagaimanapun, ketika postmortem pada malam kedua program, kami baru menyedari bahawa peserta program tidak memahami mesej yang hendak disampaikan dan objektif program masih jauh dari jangkauan. Peserta-peserta mempunyai masalah sahsiah yang lebih teruk daripada apa yang kelihatan dan yang lebih menyedihkan, mereka tidak menyedari keadaan diri mereka dan tidak berkeinginan langsung untuk memperbaiki diri. Perbincangan berlarutan sehingga ke pukul 4 pagi kerana punca masalah tidak dapat dikenalpasti. Pada hari terakhir program, kami cuma mampu melakukan apa yang terdaya dengan doa dapat menyumbang “sesuatu” kepada mereka.

Program itu banyak mengajar akak akan kelemahan diri seperti tidak dapat mengenalpasti krisis, melaksanakan program mengikut ‘template’ senior terdahulu, tidak dapat mengenalpasti perlakuan dan personality adik-adik, perancangan yang kurang mantap, kurang pengalaman menangani krisisdan banyak lagi. Program ini juga turut membuka mata akak akan keadaan sahsiah masyarakat sekeliling yang memerlukan bimbingan daripada orang yang berilmu dan berkesedaran seperti mahasiswa. Melaksanakan modul-modul di program sekolah bukanlah sekadar mempraktik skil-skil yang telah dipelajari, memenuhi tuntutan pihak sekolah dan pihak pengurusan Faciteam (MC) atau sekadar seronok meluangkan masa berprogram bersama rakan-rakan Faci & adik-adik sekolah. Setiap fasilitator memikul tanggungjawab amar makruf nahi mungkar dan merupakan agen perubahan yang penting dalam masyarakat.

Kerja dakwah yang dijalankan tidak boleh sekadar melepas batuk ditangga, malah menuntut pengorbanan dan komitmen yang lebih daripada setiap da’ie. Selaku umat yang terbaik, kerja kita hendaklah terancang. Matlamat dakwah hendaklah jelas. Kita mesti tahu apa yang kita hendak capai daripada setiap langkah kita. Kita perlu sedar, matlamat seorang fasilitator Islam bukanlah sekadar meningkatkan pencapaian mad’u kita dalam pelajaran, bahkan tanggungjawab meningkatkan sahsiah dan akhlak mereka adalah lebih penting. Kayu ukur kita bukanlah sudah berapa banyak program yang kita sertai dan berapa banyak program yang kita berjaya laksanakan, tetapi peningkatatn kualiti keadaan sosial dan sahsiah masyarakat sekeliling kita. Cukupkah solat adik-adik sekolah, apa yang dilakukan generasi muda Islam pada masa lapang mereka, apakah pegangan hidup pewaris Ummah. Inilah antara soalan-soalan kritikal yang harus kita fikirkan dan tangani. Dengan adanya “mind-set” beginilah, fasilitator yang bersemangat juang tinggi dapat dilahirkan. Mereka bukan sahaja menjadi fasililitator dalam program, malahan fasilitator dalam apa jua yang dilakukan, di mana jua mereka berada.

Setelah jelas dengan matlamat, seorang fasilitator hendaklah melengkapkan dirinya dengan kemahiran dan ilmu yang perlu sebagai bekalan menghadapi mad’u. Kemahiran yang dipelajari daripada program “training” yang dirangcang oleh MC sahaja tidak cukup untuk menjadi seorang fasilitator yang efektif. Pengetahuan diri hendaklah ditambah dengan langkah proaktif melalui bacaan, menyertai perbincangan ilmiah, kuliyah-kuliyah agama dan diskusi isu-isu semasa. Bagaimana mahu menjadi agen perubahan jika soalan adik-adik tentang fiqh harian pun tidak dapat kita jawab.

Skil-skil penting fasilitator yang tidak dapat dipelajari melalui teori seperti kemahiran menganalisa dan menangani krisis, meramal masalah, menafsir personaliti dan lain-lain hendaklah diperoleh secara berterusan dengan berkecimpung dalam program kemasyarakatan dan berkongsi pengalaman. Luangkan masa untuk mendengar kisah pengalaman dari orang yang lebih arif dan mengajar apa yang kita tahu kepada rakan-rakan seperjuangan. Jangan sampai generasi akan datang mengulangi kesilapan senior mereka kerana tiada pendedahan yang dilakukan.

Sebagai da’ie, tingkah-laku kita sentiasa diperhatikan dan menjadi contoh kepada adik-adik sekolah terutamanya. Golongan ini lebih mudah meniru apa yang ditunjukkan daripada menurut apa yang diajar kepada mereka. Perbaikilah akhlak diri. Saling menegur kekurangan tanpa mengira pangkat dan umur adalah budaya yang perlu dalam sesuatu organisasi, lebih-lebih lagi, organisasi yang menjadi platform dakwah seperti Faciteam. Jadilah duta Islam yang benar-benar mewakili keindahan Islam.

Semoga adik-adik dan rakan dapat memanfaatkan masa yang dihabiskan dalam Faciteam semaksimum mungkin, tanpa mengharap apa-apa balasan. Semoga Allah memimpin kita semua

Selamanya fasilitator,
ILI HAZWANI MHD ZAIN

Sunday, September 7, 2008

Ahlan wasahlan Ya Ramadhan Kareem..

Ramadhan hadir lagi. Satu lagi peluang diberikan Allah untuk hambanya meraih barakah.. Namun urusan dunia sentiasa mendidingi kita daripada menghampiri pintu barakah dan maghfirah Ilahi yang terbuka luas.. Hina rasanya diri ini apabila masa yang dihabiskan untuk urusan seharian melebihi masa yang diluangkan untuk ibadah.. Adakah Ramadhan ini akan berlalu begitu sahaja. Sampai bilakah kesibukan pelajaran & kerja akan menjadi alasan? bertemukah aku dengan Ramadhan seterusnya? Astaghfirullah...